Negara

Rempuh pelbagai dugaan, misi kayuh basikal ke Makkah dibatalkan

MADINAH: ‘Saya reda dengan ketentuan ini,” itu kata Che Saad Nordin, 75, selepas misi trionya bersama Ramli Osman, 72, dan Azmi Osman, 56, untuk berbasikal ke Makkah

Ia berikutan mereka mengalami pelbagai dugaan tidak diduga termasuk Ramli yang berhadapan dengan kemalangan hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan dan basikal rosak.

Che Saad sebagai ketua trio terbabit berkata, perjalanan yang dirangka sejauh kira-kira 12,000 kilometer (km) itu hanya sempat sampai di Bangkok.

Menurutnya, sejak memulakan kayuhan dengan basikal lipat dari Merlimau Melaka pada awal 13 Januari lalu, dia menempuh pelbagai halangan antaranya faktor basikal yang digunakan, kesihatan dan pelbagai halangan di sempadan antarabangsa.

“Kami sudah membuat persiapan lebih empat bulan sebelum memulakan kayuhan yang dijangka mengambil masa kira-kira lima bulan untuk tiba di Tanah Suci.

“Kayuhan dijadualkan merentasi Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu

(UAE) dan Arab Saudi namun kami reda,” katanya yang pernah membuat misi yang sama pada 2023 namun gagal apabila terpaksa menempuh cuaca sejuk melampau di Pakistan.

Che Saad berkata, bagi mengubati kekecewaan selepas misi terbabit gagal, dia dan Azmi berpatah balik ke Malaysia dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki kapal terbang bagi menunaikan umrah.

“Kami sampai di Madinah beberapa hari lalu dan akan ke Makkah dua hari lagi. Rindu terhadap Tanah Suci mendorong kami berdua menunaikan umrah pada Ramadan ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong misi kami dan memohon maaf kerana tidak dapat meneruskannya,” katanya ketika ditemukan di Madinah. – Harian Metro

Related Posts