KEMAMAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali, meninggal dunia di sebuah hospital pakar swasta di Damansara, Kuala Lumpur, petang tadi.
Abu Bakar, 79, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Kor menghembuskan nafas terakhirnya pukul 6.40 petang di sisi isteri dan anak-anak beliau.
Menurut salah seorang anaknya, bapanya meninggal dunia akibat penyakit jantung dan beberapa komplikasi lain kira-kira pukul 6.40 petang.
Katanya, bapanya dimasukkan ke hospital tersebut pada 23 Januari lalu selepas mengalami sesak nafas.
“Selepas dimasukkan ke hospital, ayah saya turut mengalami komplikasi lain seperti paru-paru berair dan masalah buah pinggang.
“Sebelum ini, arwah ayah turut mengalami sakit saraf sejak 2012 dan terpaksa berkerusi roda dan bertongkat, bagaimanapun arwah masih sihat dan aktif,” katanya ketika ditemui, malam ini.
Tambah beliau, jenazah allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Baru Kemasik.
“Insya-Allah jenazah ayah akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kerteh kira-kira pukul 10.30 pagi untuk solat jenazah dan kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor, Kerteh,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merakam ucapan takziah kepada bekas ADUN Kemasik itu.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau berduka cita dengan pemergian Abu Bakar.
“Menerima perkhabaran duka pemergian sahabat saya, Datuk Abu Bakar Ali yang lebih mesra saya panggil Datuk Kor, mantan ADUN Kemasik, yang telah kembali ke rahmatullah pada petang tadi.
“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga kepada rakyat yang telah menerima khidmat bakti Allahyarham selama ini,” tulisnya.
Menurutnya, beliau berpeluang menziarahi arwah pada 20 Februari lalu ketika dirawat di sebuah hospital pakar di Damansara, Kuala Lumpur.
Allahyarham Abu Bakar pernah berkhidmat sebagai ADUN Kemasik selama lima penggal bermula tahun 1986 hingga 2004. – Suara Timur