SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar lari ketika memasang bendera parti kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dalam kejadian di Jalan Kuala Sawah- Rantau di Kampung Belangkan, Rantau, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 6.40 petang itu, mangsa dikatakan dilanggar lori yang meninggalkan lokasi sejurus kejadian.
“Berlaku satu kemalangan jalan raya berhampiran Kampung Belangkan yang dipercayai membabitkan sebuah lori dan seorang pejalan kaki berusia 23 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila seorang lelaki berada di bahu kiri jalan arah ke Rantau menjalankan kerja memasang bendera parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Yatim berkata, secara tiba-tiba sebuah lori dengan nombor pendaftaran tidak pasti dipercayai melanggar tiang papan tanda dan pejalan kaki itu yang berada di bahu jalan.
“Pemandu lori dipercayai meninggalkan lokasi kejadian sejurus kemalangan dan usaha mengesan pemandu terbabit serta saksi masih dijalankan.
“Akibat perlanggaran ini, pejalan kaki dikatakan terjatuh di bahu jalan dan mengalami kecederaan di muka serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya.
Individu yang mempunyai maklumat kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau Bilik Gerakan Daerah Seremban (06-6033222) atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Berita Harian