Home Negeri10 Pelajar Tajaan MUIP Tamat Kursus Oil & Gas Onshore, Bakal Sertai Industri

10 Pelajar Tajaan MUIP Tamat Kursus Oil & Gas Onshore, Bakal Sertai Industri

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 10 pelajar tajaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berjaya menamatkan Kursus Oil & Gas Onshore hasil kerjasama High Skills Technology Sdn Bhd (HiSTEC) dan Ranaco Education and Training Institute (RETI).

Mereka menerima sijil tamat latihan pada Majlis Tamat Latihan Pelajar Tajaan MUIP Pahang yang berlangsung di Kampus RETI, Kawasan Perindustrian Jakar, di sini, baru-baru ini.

Sijil disampaikan Pengarah Bahagian Agihan Zakat MUIP, Muhammad Khairuddin Husin.

banner

Turut hadir Pengurus Ranaco Vocational Training Centre, Jasrin Mohd Radin dan Pengarah Eksekutif HiSTEC, Tengku Rosmin Farhan Tengku Mohd Amin.

PELAJAR RETI mengangkat sijil tanda tamat latihan pada Majlis Tamat Latihan Pelajar Tajaan MUIP Pahang di Kampus RETI di Kawasan Perindustrian Jakar, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Berucap pada majlis itu, Jasrin berkata, RETI yang diasaskan oleh Allahyarham Kapten Ramlan Ramli pada tahun 1984 ditubuhkan dengan matlamat memberi peluang kedua dalam pendidikan kepada golongan yang kurang cemerlang dalam bidang akademik.

Beliau berkata, institusi itu kini menawarkan pelbagai kursus dalam bidang maritim, minyak dan gas, keselamatan dan kesihatan, logistik serta hospitaliti.

“Sehingga hari ini, RETI telah melahirkan lebih 40,000 graduan dalam pelbagai bidang yang ditawarkan dan kebanyakan mereka kini berkhidmat dalam industri masing-masing,” katanya.

Jasrin berkata program latihan yang diikuti peserta berkenaan merupakan pintu permulaan untuk mereka menceburi industri minyak dan gas yang menawarkan prospek kerjaya serta pendapatan yang baik.

Beliau turut mengingatkan para peserta supaya menghargai peluang yang diberikan oleh MUIP serta berusaha mencapai kejayaan demi mengubah taraf hidup diri dan keluarga.

MUHAMMAD KHAIRUDDIN HUSIN

Sementara itu, Muhammad Khairuddin berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif MUIP bagi membantu golongan asnaf meningkatkan taraf ekonomi melalui pendidikan dan latihan kemahiran.

Beliau berkata MUIP turut melaksanakan pelbagai program pembangunan asnaf termasuk latihan keusahawanan dalam sektor pertanian, program kejururawatan serta bantuan pendidikan yang menjurus kepada peluang pekerjaan.

“Setiap tahun tidak kurang daripada 100 individu menerima bantuan pendidikan daripada MUIP bagi meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga,” katanya.

Menurut beliau, MUIP menerima kutipan zakat kira-kira RM270 juta tahun lalu yang diagihkan kepada golongan asnaf fakir dan miskin menerusi pelbagai program pembangunan dan kebajikan.

TENGKU ROSMIN FARHAN TENGKU MOHD AMIN

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Rosmin Farhan berkata, HiSTEC sebagai penyedia latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sentiasa merangka program berdasarkan keperluan semasa industri.

Katanya, syarikat itu menjalankan kajian terhadap permintaan tenaga kerja sebelum membangunkan modul latihan bagi memastikan graduan yang dilahirkan memenuhi kehendak industri.

“Kebanyakan dana yang digunakan HiSTEC datang daripada institusi zakat dan objektif utama kami ialah membantu penerima zakat menjadi individu yang berjaya sehingga mampu menyumbang semula zakat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata lepasan kursus yang menamatkan latihan hari ini akan ditempatkan di beberapa lokasi industri antaranya di Pengerang, Johor dan Sungai Udang, Melaka bagi memulakan kerjaya dalam sektor minyak dan gas. – Suara Timur

Tinggalkan komen