Home NasionalPasport Malaysia, MyKad bakal berwajah baharu, miliki ciri keselamatan tinggi

Pasport Malaysia, MyKad bakal berwajah baharu, miliki ciri keselamatan tinggi

oleh suara timur

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memperkenalkan pasport Malaysia dan MyKad berwajah baharu dalam dalam tempoh enam bulan lagi.

Penambahbaikan dokumen pengenalan diri dengan reka bentuk dan ciri keselamatan baharu itu dibuat bagi memperkukuh tahap keselamatan dokumen berkenaan selaras perubahan teknologi dan keperluan semasa, termasuk membanteras pemalsuan MyKad.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata rakyat tidak perlu berpusu-pusu untuk memperbaharui pasport dan MyKad mereka kerana ia masih boleh digunakan sehingga tamat tempoh.

Katanya, pelaksanaan ini antara pencapaian penting kerajaan dalam usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan diri dan perjalanan negara.

banner

“Ketika ini, pasport Malaysia berada di kedudukan ketiga paling dipercayai di dunia, diukur berdasarkan tahap kebebasan perjalanan tanpa visa yang dinikmati pemegangnya.

“Namun, kita akan memiliki pasport berwajah baharu untuk rakyat Malaysia dalam tempoh enam bulan dari sekarang dengan ciri keselamatan diperketatkan,” katanya pada sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, beliau diberi taklimat oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban bersama Awang Alik, semalam, mengenai status kebolehpercayaan pasport Malaysia.

Beliau berkata, Awang Alik akan membantu memastikan semua prasyarat bagi mencapai sasaran mengeluarkan pasport dan kad pengenalan itu dapat dipenuhi mengikut garis masa ditetapkan.

“Selepas satu tempoh tertentu, kita mempunyai tanggungjawab untuk memperkenalkan ciri baharu pada dokumen pengenalan diri yang lebih selamat dan relevan dengan peredaran zaman,” katanya. – Berita Harian

Tinggalkan komen