Politik

Saifuddin, Mohd Shukri digugur sebagai Pengerusi PN Pahang dan Perlis

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli masing-masing digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Perlis.

Jawatan pengerusi bagi kedua-dua negeri itu kini disandang oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN Pahang), manakala Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN Perlis).

Pelantikan berkuat kuasa esok itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MPTN) yang bersidang malam ini, dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Bagi jawatan Pengerusi Johor, ia disandang oleh Datuk Dr Sahruddin Jamal; Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah); Datuk Ahmad Yakob (Kelantan); Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Melaka) dan Mohamed Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan).

Selain itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak); Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (Pulau Pinang); Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Sabah); Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak); Mohamed Azmin (Selangor); Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidi (Wilayah Persekutuan).

Selain pelantikan Pengerusi PN negeri, Azmin berkata, mesyuarat malam ini turut membincangkan beberapa perkara penting termasuk berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, MTPN sebulat suara bersetuju PN akan mengambil bahagian aktif dalam PRN Sabah.

“Selain itu, PN juga sudah mengenal pasti kerusi-kerusi tumpuan dan akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat.

“Pelantikan Pengerusi PN negeri berkuat kuasa pada 28 Oktober 2025.

“PN bertekad untuk terus berusaha memperkukuhkan wadah perjuangan parti sebagai wahana yang inklusif, progresif dan prihatin rakyat,” katanya. – Berita Harian

Related Posts