Negara

Treler cuba seludup 3,000 liter minyak diesel ditahan di Bukit Kayu Hitam

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan sebuah treler yang cuba menyeludup 3,000 liter minyak diesel yang disorok di ruang diubah suai di bawah tangki sebuah treler Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasarudin M Nasir berkata, pihaknya dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menahan treler itu selepas melakukan imbasan oleh Unit Mesin Pengimbas Kargo (UMP Kargo) pada pukul 2.15 petang.

Katanya, cubaan yang dilakukan menggunakan lori jenis pole treler yang diubah suai pada bahagian tangki bawah bagi mewujudkan ruang tersembunyi untuk menempatkan minyak diesel, dengan tujuan mengaburi pihak berkuasa semasa melalui pintu masuk antarabangsa.

“Berdasarkan hasil imbasan oleh Unit Mesin Pengimbas Kargo (UMP Kargo), imej mencurigakan berjaya dikesan pada bahagian bawah treler berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ruang khas tersembunyi itu dibina dalam tangki bawah treler berkenaan, menempatkan cecair disyaki minyak diesel.

“Anggaran jumlah minyak diesel yang disembunyikan ialah sebanyak 3,000 liter yang dianggarkan bernilai RM8,670,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, minyak diesel dan kenderaan berkenaan disita sebagai bahan bukti manakala pemandu lori diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi membantu siasatan.

“Minyak diesel adalah barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan 1974, dan sebarang aktiviti mengangkut, menyimpan atau memiliki tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal adalah satu kesalahan.

“Kesalahan ini berdasarkan Seksyen 133(1) (e),Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21(1),Akta bekalan kawalan 1961 ( Akta 122 ),” katanya. – Suara Timur

Related Posts