Negeri

Ibu dakwa anak meninggal dunia akibat influenza

KUALA TERENGGANU: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mas, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di Dungun meninggal dunia awal pagi Rabu dipercayai akibat jangkitan influenza.

Mangsa, Muhammad Amsyar Farhan Mohd Noor, 11, yang juga anak bongsu daripada dua beradik disahkan meninggal dunia jam 1.40 pagi di Klinik Kesihatan Al-Muktafi Billah Shah (AMBS).

Ibunya, Normala Mohd Nor, 42, berkata, anaknya mula menunjukkan tanda tidak sihat pada pagi Selasa sebelum dibawa ke sebuah klinik swasta di Paka untuk mendapatkan rawatan.

“Pagi Selasa lalu anak saya demam tapi suhu badannya tidak terlalu tinggi. Saya bawa ke klinik swasta di Paka kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Doktor buat ujian swab dan beritahu dia dijangkiti influenza sebelum beri ubat antiviral,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pada Rabu.

Menurut Normala, keadaan anaknya mula merosot pada malam hari selepas mengambil ubat seperti diarahkan doktor.

“Malam tu dia muntah banyak kali tapi masih boleh makan. Lepas muntah kali ketiga, badannya tiba-tiba kejang dan saya terus bawa ke Klinik Kesihatan AMBS sekitar jam 11 malam.

“Masa tu suhu badannya tidak begitu panas dan dia masih boleh bercakap seperti biasa dengan ayahnya. Tapi, sekitar jam 1.40 pagi, doktor maklumkan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya sebak.

Normala berkata, jenazah pada awalnya dijangka dikebumikan jam 10 pagi pada Rabu namun ditangguhkan kerana kes berkenaan perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk siasatan lanjut.

“Saya terpaksa bawa anak dari Dungun ke HSNZ untuk proses bedah siasat. Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Maghrib di Tanah Perkuburan Islam AMBS,” katanya.

Jelas Normala, anaknya sebelum ini berada dalam keadaan sihat dan tidak pernah menghidap sebarang penyakit kronik.

Sementara itu, abang mangsa, Muhammad Aniq Farhan Mohd Noor, 15, yang bersekolah di asrama, dilaporkan tidak mengalami sebarang gejala demam atau influenza.

Sinar Harian masih mendapatkan pengesahan lanjut daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berhubung kes berkenaan. – Sinar Harian

Related Posts