KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah akan mengemukakan 81 peratus calon muka baharu, termasuk 50 peratus anak muda pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jumlah itu dipertaruhkan di 48 kerusi yang disasarkan BN, yang merangkumi UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), manakala selebihnya diserahkan kepada Pakatan Harapan (PH).
Katanya, senarai calon dan kerusi yang ditandingi akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada mesyuarat khasnya Khamis ini.
“Saya ingin memaklumkan hampir 81 peratus adalah calon muka baharu dan anak-anak muda untuk BN menghadapi PRN17 Sabah dengan kerjasama PH untuk mengekalkan kestabilan politik di seluruh negara,” katanya pada sidang media BN Sabah, di sini semalam.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, UMNO dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya menghadapi PRN17 berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 6 Oktober lalu.
“Kita dalam ‘mood’ bersiap siaga sepenuhnya dan bersemangat 100 peratus untuk berhadapan dengan PRN17 dan kita telah mengarahkan seramai 614,994 ahli UMNO di seluruh Sabah dan daripada jumlah itu seramai 474,252 orang adalah ahli UMNO yang boleh mengundi.
“Kita akan mengumumkan kerusi dan senarai calon satu minggu sebelum penamaan calon dan pada ketika itu juga kita akan melancarkan jentera pilihan raya BN.
“Kita juga akan melancarkan janji tawaran baharu kita iaitu rancangan pembangunan Sabah 1 kepada rakyat negeri Sabah.
“Bermacam-macam tawaran kita buat, tawaran-tawaran baharu kepada rakyat negeri Sabah untuk kita memperbetulkan ekonomi dan juga masa depan hidup rakyat negeri Sbah termasuk anak-anak muda,” katanya. – Berita Harian