Negara

Tak mungkir janji, harga minyak turun akhir September ini – PM

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan memungkiri janji untuk menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 pada penghujung September ini seperti yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap rakyat bersabar menantikan pengumuman terbabit dan tidak mudah mempercayai maklumat mengelirukan atau tidak tepat.

“Ada yang marah harga minyak belum turun walaupun September sudah tiba, sebelum ini saya kata sebelum akhir September sebaliknya bukan awal September atau pertengahan.

“Oleh itu sabarlah, jika bukan rakyat Malaysia, mungkin kena bayar harga RM2.50 atau RM2.60, tetapi rakyat hanya bayar RM1.99 sahaja.

“Tengoklah mana-mana negara lain, mana ada yang turun harga minyak, tiada,” katanya ketika berucap pada program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu dapat ditunaikan berikutan pentadbiran kerajaan pusat yang mengambil kira keperluan masyarakat berbilang bangsa.

“Sebab apa kita boleh (turunkan harga minyak), sebab kita perintah. Kerajaan ini fikirkan rakyat, apabila kita sudah berjanji kita akan tunai.

“Sebelum ini kita kata hari ini tubuh kerajaan, esok turun harga minyak, tetapi ambil masa satu atau dua tahun, turun juga kan.

“Selain itu, ada pihak tanya banyak lagi (janji) belum buat, ya betul banyak lagi yang belum buat, tetapi masa kamu (pembangkang) perintah apa yang kamu buat, kita akan lakukan yang terbaik demi rakyat,” katanya.

Beliau berkata, langkah kerajaan memberikan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) RM100 menerima sambutan baik dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang ekonomi mereka.

“Baru-baru ini kita bagi RM100, gembira tak?, gembira kan.

“Bantuan ini bukan sahaja kepada golongan B40 dan M40, tetapi juga kepada golongan profesional. Sekurang-kurangnya kita ingat semua rakyat Malaysia, nanti kita tengok ya (untuk tambah nilai),” katanya.

Pada 23 Julai lalu, Anwar mengumumkan penurunan harga minyak sebelum akhir September ini. – Harian Metro

Related Posts