JAKARTA: Seutas jam tangan Richard Mille milik ahli Parlimen daripada Parti NasDem, Ahmad Sahroni telah dipulangkan selepas dicuri semasa serbuan ke atas rumahnya, lapor laman berita Kumparan.
Berdasarkan carian di laman web rasmi Richard Mille, jam tangan mewah itu bernilai sekitar 11.7 bilion rupiah (RM3 juta).
Jam tangan itu dilarikan ketika rumah Sahroni di kawasan Tanjung Priok, Jakarta Utara, dirompak kumpulan perusuh Sabtu lalu.
“Ya, jam itu juga sudah dikembalikan,” kata seorang penduduk setempat yang enggan namanya disiarkan.
Penduduk itu berkata, beberapa barangan lain yang telah diambil juga telah dipulangkan. Dia mengaku tidak mengetahui identiti sebenar orang yang mengambil jam itu.
“Ada antara mereka sudah (pulangkan), ada yang belum. Kami masih menyiasat, menyemak rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), video dan maklumat,” katanya.
Katanya, beberapa kumpulan perusuh yang mengambil barangan dari rumah Sahroni telah diserahkan kepada pejabat kejiranan tempatan.
Video pemulangan jam tangan itu menjadi tular di media sosial.
Dalam video yang dikongsikan, kelihatan ibu bapa pelaku menyerahkan jam tangan kepada seorang ketua masyarakat setempat.
Rumah Sahroni dirompak oleh kumpulan perusuh yang turut merosakkan koleksi kereta mewahnya.
Pada masa ini, akses ke rumah beliau dikawal ketat oleh penduduk. – Agensi