SHAH ALAM: Kerajaan Madani mengiktiraf peranan komuniti permotoran sebagai penyumbang kepada semangat kebersamaan dan pengukuh silaturahim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut melihat usaha berkenaan sebagai penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat melalui penganjuran pelbagai aktiviti berimpak tinggi.
“Sehubungan itu, saya menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.
“Program ini menjadi platform utama menghimpunkan peminat dan penggiat permotoran dari seluruh negara, sekali gus mengangkat potensi industri permotoran ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang program, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan memberi bantuan serta kawalan sewajarnya.
“Kerajaan Madani juga akan menyalurkan peruntukan awal RM100,000 kepada peserta sebagai tanda komitmen dalam menjayakan program berkenaan, manakala perbincangan lanjut bersama penganjur akan diadakan minggu hadapan,” katanya.
Anwar berkata, selaras dengan tekad Kerajaan Madani memastikan kesejahteraan rakyat, aspek keselamatan akan sentiasa diutamakan.
Justeru, beliau menyeru peserta dan penganjur mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan sikap bertanggungjawab serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Dalam semangat Bulan Kemerdekaan, saya turut mengajak semua peserta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan serta kecintaan kepada tanah air.
“Semoga program ini bukan sahaja menjadi wadah permotoran yang positif tetapi juga medan memperkukuh perpaduan nasional dan semangat patriotisme rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus menyokong inisiatif masyarakat yang membawa manfaat bersama, memperkukuh perpaduan serta membina budaya permotoran yang positif, selamat dan berdaya maju demi kemakmuran negara. – Sinar Harian