SUNGAI merupakan ‘nyawa’ kepada kehidupan kerana memainkan peranan penting seperti membekalkan sumber air bersih, makanan, pengangkutan dan menjana tenaga elektrik.
Selain itu, usaha menjaga sungai sangat penting kerana boleh menjadi kebanggaan dengan ‘menghidangkan’ pemandangan yang luar biasa. Jadi, sungai boleh menjadi lokasi popular bagi mereka yang mahu mencari ketenangan dan menikmati keindahan alam, menurut laporan Tempo.co.
1- Sungai Thames

DI kedudukan pertama ialah Sungai Thames iaitu ‘arteri’ penting yang mengalir di tengah-tengah kota London, Britain. Ia bukan sekadar laluan air, sebaliknya bukti kepada daya tahan manusia dan penjagaan alam sekitar.
Sungai sepanjang 346 kilometer (km) itu menyediakan dua per tiga air minuman di bandar itu. Ia dianggap sebagai sungai terbersih di dunia sementelah mengalir di tengah kota. Pernah dibelenggu pencemaran yang teruk sehingga diisytiharkan ‘mati secara biologi’, melalui usaha bersepadu selama beberapa dekad, ia telah membuat kemunculan semula yang luar biasa.
Dengan usaha pihak penggubal dasar, nasib sungai itu mula berubah. Ini termasuk penguatkuasaan perundangan pada tahun 1961 sehingga 1995, manakala bermula 1976, semua air kumbahan yang memasuki Sungai Thames telah dirawat. Hari ini, perairan itu telah menjadi tarikan pelancong dengan menawarkan peluang menyelusuri keindahan semula jadi London dari perspektif berbeza.
2- Sungai Tara

MENGALIR melalui Montenegro serta Bosnia dan Herzegovina, Sungai Tara adalah karya agung semula jadi yang sering dipuji sebagai ‘Permata Eropah’. Kejernihannya yang luar biasa dan ngarai menakjubkan telah menobatkan sungai ini sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)
Khazanah Balkan ini pernah berhadapan ancaman pada masa lalu termasuk pembinaan empangan. Kejayaan mempertahankan sungai ini menekankan kepentingannya sebagai sumber semula jadi dan budaya yang dihargai.
3- Sungai St. Croix

SUNGAI St. Croix adalah anak sungai Mississippi, Amerika Syarikat. Sungai sepanjang 264km itu pernah mengalami perubahan yang luar biasa. Sungai itu pernah dilabel sebagai salah satu sungai paling tercemar di dunia. Kini, muncul sebagai salah satu sungai paling bersih di Amerika Utara.
Usaha bersepadu pada tahun 1990 telah memulihkan ‘kesihatan’ sungai ini telah membuahkan hasil. Hari ini, St. Croix bukan sahaja berfungsi sebagai sumber tenaga hidroelektrik, malah penting untuk Minneapolis.
Airnya yang jernih dan keindahan semula jadi di sekitarnya menjadikan sungai ini destinasi menarik untuk penggemar aktiviti luar.
4- Sungai Dawki

TERLETAK di tengah-tengah Meghalaya, India, Sungai Dawki atau dikenali sebagai Sungai Umngot adalah bukti kesucian alam semula jadi. Diiktiraf di peringkat global kerana kejernihan yang luar biasa, sungai dijuluki Asia’s Cleanest River ini telah menjadi destinasi untuk pelancong mencari ketenangan dan keindahan alam semula jadi. Terletak kira-kira 100km dari Shillong, sungai ini menawarkan percutian yang tenang.
Pengunjung boleh menaiki bot untuk melihat air jernih yang menampakkan dasar sungai. Pengalaman unik ini akan digabungkan dengan persekitaran sungai yang menakjubkan.
5- Sungai Torne

DI tangga terakhir adalah Sungai Torne iaitu laluan air sejernih kristal. Sungai dikongsi oleh Sweden dan Finland ini adalah keajaiban semula jadi yang menawan.
Airnya mencerminkan langit dengan kejernihan luar biasa, sekali gus menjadikan sungai ini sebagai destinasi popular bagi mereka yang mahu menikmati keindahan semula jadi. Sungai Torne juga berfungsi sebagai sempadan yang unik antara kedua-dua negara Nordik. – Kosmo