MELAKA – Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil menasihatkan semua pihak agar menjaga adab serta tidak menyalahgunakan doa, khususnya Qunut Nazilah, dalam mana-mana majlis atau perhimpunan, termasuk yang melibatkan perbezaan pandangan politik.
Beliau berkata, dalam Islam, doa merupakan satu bentuk ibadah yang mempunyai adab dan garis panduan yang jelas dan ia sewajarnya digunakan untuk memohon pertolongan dan rahmat daripada ALLAH SWT bagi membawa kebaikan, kesejahteraan dan keamanan kepada masyarakat.
“Doa itu senjata orang beriman dan dalam konteks Islam, kita ada Qunut Nazilah yang dibaca ketika umat Islam dilanda musibah besar seperti peperangan, penindasan atau bencana seperti yang pernah berlaku ketika pandemik Covid-19
“Ia bukan doa biasa dan perlu disampaikan dengan penuh adab dan ilmu,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Palah di sini pada Rabu.
Beliau merujuk kepada satu klip video tular melibatkan bacaan doa oleh seorang individu semasa satu perhimpunan baru-baru ini, yang didakwa menggunakan lafaz yang tidak wajar ketika menyampaikan Qunut Nazilah.
“Saya berpandangan, lafaz sedemikian tidak berakhlak, tidak mencerminkan ketinggian ilmu dan bertentangan dengan adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
“Apatah lagi doa itu ditujukan kepada pihak yang mempunyai akidah sama, namun cuma hanya berbeza pandangan atau fahaman politik,” katanya.
Abd Halim juga mengingatkan bahawa Rasulullah SAW sendiri ketika berdepan kezaliman daripada kaum Quraisy dan penindasan daripada golongan Yahudi, namun baginda masih mendoakan keampunan buat mereka dan bukan keburukan. -Sinar Harian