Mahkamah dan Jenayah

Samun peniaga makanan, lelaki dipenjara tujuh tahun, dua sebatan

JERTIH: Mahkamah Sesyen Besut menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap seorang lelaki kerana menyamun peniaga makanan yang melakukan penghantaran ke rumah (COD) minggu lalu.

Tuan Muhammad Shahrul Azlan Tuan Abdul Rahman, 32, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didapati cuba melakukan rompakan terhadap seorang wanita berusia 31 tahun, dan dalam cubaan melakukan perbuatan itu, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita berkenaan.

Kesalahan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan itu dilakukannya pada 2.21 petang, 20 Julai lalu di Jalan Tembila Kampung Raja, di sini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan memandangkan perbuatan itu satu jenayah serius kerana pesalah menggunakan sebilah pisau sehingga mendatangkan kecederaan dan trauma bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga menimbulkan rasa takut serta kebimbangan terhadap masyarakat.

Namun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norhuda Mohamed Khan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kerana lelaki itu mempunyai seorang isteri yang mengalami gangguan emosi selepas kematian anak tunggal mereka berusia sembilan bulan akibat masalah hati pada 2020.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Azamuddin Ahmad memaklumkan lelaki yang ditangkap pada 21 Julai itu disyaki terbabit dalam tiga kes samun di beberapa kampung di daerah Besut, antara 24 Jun hingga 20 Julai lalu.

Ketiga-tiga kejadian samun itu membabitkan tiga mangsa wanita, kesemuanya peniaga makanan yang melakukan penghantaran ke rumah. – Harian Metro

Related Posts