BATU PAHAT: Dua maut manakala 16 cedera selepas bas persiaran membawa 45 penumpang terbabit dalam kemalangan dengan dua lori di Kilometer 80.7, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan berhampiran Ayer Hitam, Johor malam tadi.
Kemalangan dipercayai berlaku jam 12.30 tengah malam dengan kedua-dua mangsa maut adalah penumpang bas manakala pemandu lori tangki dan lori tunda selamat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Md Isa Masngun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.44 tengah malam sebelum menggerakkan tujuh anggota ke lokasi.
Di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu bas persiaran yang membawa 46 orang termasuk pemandu dan dua lori.
“Terdapat dua mangsa iaitu penumpang bas tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan manakala 16 lagi iaitu penumpang dan pemandu bas cedera.
“Sementara 28 penumpang lain selamat dan tidak cedera. Mangsa yang cedera pula dihantar ke hospital dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan.
Pemandu lori tunda lelaki berusia 42 tahun dan lori tangki, 33 tahun pula terselamat dalam kejadian itu. – Berita Harian