Mahkamah dan Jenayah

Cubaan kurier bunga ganja lebih RM1.4 juta gagal

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menggagalkan cubaan menyeludup bunga ganja bernilai RM1.405 juta ke luar negara, selepas merampas barang larangan itu di Pusat Mel dan Kurier (PMK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, penemuan dadah itu membabitkan tiga kes hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan di PMK antara 3.10 petang dan 3.30 petang, 5 Mei lalu.

Katanya, bungkusan dadah yang diisytiharkan sebagai baju dan sarung bantal itu dipercayai untuk dieksport ke luar negara.

“Berdasarkan imbasan yang dilakukan ke atas bungkusan itu, ia menunjukkan imej menyerupai bahan organik sebelum pemeriksaan rapi dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Temerloh dengan kerjasama Bahagian Perkastaman KLIA.

“Dalam kes pertama itu, ditemukan bahan disyaki bunga ganja seberat 6,200 gram dianggarkan bernilai RM666,400 yang disorok di dalam sarung bantal.

“Kes kedua pula hasil pemeriksaan dengan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong menemukan 3,200 gram bunga ganja bernilai RM313,600 yang dibungkus dalam baju, manakala kes ketiga membabitkan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan menemukan bahan sama seberat 4,340 gram bernilai RM425,320 yang dibungkus dalam baju,” katanya.

Mohd Asri berkata demikian pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, Indera Mahkota, di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran barang untuk menyeludup dadah terbabit dan dieksport ke luar negara. – Metro

Related Posts