Negara

Rita Rudaini terima pingat darjah kebesaran Perlis


PETALING JAYA – Pelakon Rita Rudaini melakar sejarah peribadi apabila menerima Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis kali ketiga sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis semalam.

Pada majlis tersebut, Rita atau nama penuhnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, menerima Pingat Jasa Baik (PJB) sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan pencapaiannya dalam bidang seni terutama lakonan dan juga kerja-kerja amal dilakukannya sebelum ini.

“Saya amat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis atas penganugerahan ini.

“Anugerah ini adalah satu penghormatan besar dan rezeki yang bukan hanya untuk diri tetapi juga buat anak-anak dan semua yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” katanya.

Dalam masa sama, pelakon filem Mami Jarum itu berkata, penghargaan tersebut turut menyuntik semangat dalam dirinya untuk terus berkarya dengan lebih tekun dan berintegriti.

“Saya berharap agar pengiktirafan ini turut menjadi inspirasi kepada anak seni lain agar terus berkarya dengan penuh dedikasi dan menjaga maruah profesion sebagai insan seni,” katanya lagi.

Pada masa sama, Rita menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan Negeri Perlis dan semua pihak yang banyak memberi sokongan sepanjang kerjayanya.

“Terima kasih kepada exco kerajaan negei yang terbabit atas pengiktirafan ini. Insya-Allah, akan ada banyak aktiviti bersama mereka nanti.

“Tidak terkecuali kepada semua pihak seperti penerbit, pengarah dan penggiat seni yang sentiasa menghargai bakat saya.

“Tidak dilupakan kepada semua rakan media dan peminat yang tanpa henti memberi sokongan. Dari dulu sampai sekarang,” katanya lagi. – Kosmo

Related Posts