KUALA TERENGGANU: Penggemar kopi nisang tidak melepaskan peluang mendapatkan minuman berkenaan yang diagihkan secara percuma oleh seorang peniaga minuman berkenaan, hari ini.
Peniaga, Nur Nadhirah Syuhadah Rahmat, 27, berkata, dia menyediakan sebanyak 1,500 gelas minuman berasaskan nisang itu sebagai tanda terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa memberi sambutan baik terhadap produk berkenaan yang diusahakannya bersama suami, Muhammad Faris Syarafuddin Mohd Kahni, 30, sejak lima tahun lalu.
Katanya, dia membelanjakan sebanyak RM3,000 bagi menyediakan minuman yang dibuat sepenuhnya menggunakan 240 keping kerek nisang nira kelapa.
“Hari ini sempena pembukaan cawangan ketiga, saya sediakan sebanyak 1,500 gelas dan tidak sangka habis dalam tempoh satu jam sahaja.

“Kita mulakan agihan pada jam 4.30 dan menjangkakan air akan habis dalam masa dua jam, tetapi tidak sangka dalam tempoh satu sahaja sudah habis.
“Saya juga memberi goodies berisi produk tradisional berasaskan nisang nira kelapa seperti lok lik dan kek batik nisang butter kepada 150 pengunjung terawal,” katanya yang bakal membangunkan tapak perniagaan makanan berasaskan nisang diatas tanah sendiri seluas 0.8 hektardikenali sebagai Lembah Nisang Batu Putih, di Marang yang dijangka beroperasi akhir Jun ini.
Pengunjung, Hasmah Harun, 37, dari Kelantan dan Ahmad Rizal Hashim, 46, dari Kuantan antara pengunjung luar Terengganu yang bertuah dapat merasai minuman berkenaan secara percuma.
Pelancong dari dua negeri jiran itu berkata, mereka kebetulan berada di sebuah pusat pengeluaran batik di kawasan Chendering ketika peniaga terbabit mengagihkan minuman berkenaan di kawasan sama.
“Kebetulan saya ke Chendering untuk membeli kain batik dan melihat ramai beratur sebelum menyuruh anak beratur memasuki barisan,” katanya.
Menurutnya, dia tahu keenakan minuman berkenaan melalui rakannya yang pernah datang ke negeri ini tetapi tidak pernah berpeluang merasainya.
Seorang lagi pengunjung, Wan Farhana Wan Tazilah, 30, berkata dia mengetahui mengenai agihan minuman berkenaan secara percuma daripada media sosial.
“Saya datang ke sini jam 4 petang kerana tidak mahu terlepas memiliki minuman berkenaan yang diberikan sebanyak dua gelas setiap seorang,” katanya yang tinggal di Kampung Paloh, di sini. – Metro