Negara

Minta hantaran RM50,000, lelaki pilih undur diri

SHAH ALAM:  Seorang lelaki membuat keputusan untuk menamatkan hubungan percintaannya selepas diminta menyediakan duit hantaran sebanyak RM50,000.

Menerusi perkongsian oleh @Zafreezaharidan di Threads, dia memuat naik tangkap layar perbualan di WhatsApp antara dirinya dan bekas kekasih berhubung perbincangan mereka mengenai perkahwinan.

Bagaimanapun, perbualan itu diakhiri dengan keputusan untuk berpisah secara baik oleh kedua-dua belah pihak.

Lelaki berkenaan menjelaskan bahawa meskipun beliau menghormati perbincangan pasangannya bersama keluarga dan memahami alasan di sebalik jumlah yang diminta, namun nilai tersebut tidak selari dengan prinsip hidupnya.

Jika RM50,000 adalah jumlah yang diperlukan (RM40,000 adalah yang terendah), maka saya percaya ia memberi tekanan kepada saya, dan ia bukan ujian yang saya sanggup ambil,” ujarnya.

Beliau memberitahu, keputusan untuk berpisah dibuat lebih awal demi mengelakkan kesulitan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Saya rasa lebih baik kita berpisah sebelum keadaan menjadi lebih sukar untuk kita berdua. Saya cuma rasa saya bukan orang itu,” ujarnya.

Luahan jujur tersebut menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, dengan ramai memuji kejujuran dan keberanian lelaki itu untuk berundur secara baik demi kesejahteraan kedua-dua pihak. – Sinar Harian

Related Posts