Negeri

Buruh cedera diserang buaya ketika menjala ikan di tasik

SETIU:  Seorang buruh cedera selepas diserang seekor buaya tembaga ketika menjala ikan di sebuah tasik berhampiran Kampung Jelapang, Sungai Lerek di sini, pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Ahmad Khalid Ya, 50, diserang reptilia berkenaan yang muncul secara tiba-tiba ketika berada di dalam air.

Menurutnya, mangsa keluar menjala bersama dua ahli keluarga termasuk sepupunya, Mohd Sabri Shamsudin, 37, sebelum diserang haiwan tersebut.

“Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian jari serta lengan. Mangsa kini dalam keadaan stabil,” katanya di sini, pada Khamis.

Jelas Mohd Zain, buaya tersebut telah berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dengan bantuan pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada hari sama.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehadiran buaya itu sekitar jam 9 malam dan segera menghantar pegawai ke lokasi berkenaan.

Jelasnya, kes itu merupakan insiden pertama serangan buaya yang direkodkan di kawasan tersebut tahun ini.

“Buaya tersebut dikenal pasti sebagai spesies buaya tembaga atau Crocodylus porosus. Ia dianggarkan seberat 100 kilogram dan sepanjang 12 kaki.

“Haiwan itu telah berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dengan bantuan pegawai Perhilitan, sebelum dipindahkan dan dilepaskan ke habitat semula jadi yang sesuai,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts