Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Lebih 50 keluarga Kelab Radio Amatur dan Rekreasi (PEMANCAR) Negeri Terengganu hadir memeriahkan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri PEMANCAR 2025/1446 yang diadakan di Kawasan Rekreasi Waterfront, Jalan Balik Bukit, Kuala Terengganu semalam.
Selain meraikan Hari Lebaran, majlis yang berlangsung dari pukul 2.30 hingga 5.00 petang itu juga bertujuan mengukuhkan lagi semangat ukhuwah dan kasih sayang sesama ahli.
Presidennya, 9M2SUK Mohd Sukri Yaakop berkata, program ni merupakan acara tahunan PEMANCAR sejak sepuluh tahun lalu.
“Kebanyakan mereka datangnya dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu, Kemaman dan setiap daerah kita ada ketua zon masing masing,” katanya ketika dihubungi Suara Timur di sini.

Pemilihan tempat berdasarkan kawasan pinggir bandar, sesuai untuk riadah, ruang pakir yang luas dan kawasan yang dikenalpasti ada sebuah wakaf boleh berteduh sekiranya cuaca hujan.
Ujarnya, selain membawa makanan sendiri, mereka juga disediakan nasi putih, guali daging dan ayam goreng. Selain itu terdapat juga laksa Terengganu (kuah putih), kuih muih, minuman panas, air sirap dan air mineral.
Selain Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri, PEMANCAR juga menganjurkan majlis berbuka puasa, bengkel baik pulih radio amatur dan majlis santai minum petang bagi mengeratkan hubungan sesama ahli.
Aktibiti PEMANCAR sepanjang tahun seperti jota joti on the air pengakap jamboree, peak to peak event, perjumpaan dengan ahli, gotong royong, ziarah ahli yang uzur dan menganjurkan program mengikut peristiwa semasa.
PEMANCAR merupakan pertubuhan yang berdaftar dan mempunyai keahlian seramai 600 orang.
PEMANCAR diasaskan oleh 9W2DEB Zainudin Abdullah pada tahun 2006 bagi menggabungkan pemilik radio amatur seluruh negeri Terengganu.
Tujuan penubuhan adalah merapatkan silaturahim antara satu sama lain dengan cara komunikasi yang berhemat dan mengikut “Standard Operation” (SOP) yang telah di tetapkan oleh Suruhanjaya Konmunikasi dan Multimedia Malaysia.
Ahli PEMANCAR juga sentiasa diberi latihan dan tunjukajar yang betul dalam komunikasi menggunakan Q-Qode dan cara mengendalikan radio amatur dari masa kesemasa.
“Selain berkongsi hobi, pengguna radio amatur juga bersedia membantu pihak berkuasa dalam menghadapi sebarang bencana samada di darat atau di air sebagai penghubung utama. Ianya meliputi kerja-kerja amal dan kebajikan serta kemasyarakatan seperti gotong royong dan sebagainya disamping membantu pihak berkuasa menangani aktiviti jenayah pada bila-bila masa.
Menurut Mohd Sukri kemudahan pengulang (repeater) PEMANCAR ada hampir setiap daerah dan kita ada 6 AA (lesen repeater) yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) di Marang, Setiu, Besut, Dungun dan Kemaman.
Pengulang paling popular di Negeri Terengganu adalah pengulang 9M4RBJ terletak di Bukit Jerung, Marang yang mana mempunyai liputan bagi Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Dungun dan dapat juga memancar di Pasir Puteh, Kelantan.
“Bagi mengadakan program tertentu, kita menggunakan satu call sign khas iaitu 9M4CCM bagi memaklumkan aktibiti kepada ahli PEMANCAR,” ujarnya. – Suara Timur