Negara

Kelantan negeri pertama di Pantai Timur terima bas elektrik

KOTA BHARU: Kelantan menjadi negeri pertama di Pantai Timur menerima lapan bas elektrik bernilai RM1.4 juta sebuah untuk perkhidmatan henti-henti yang akan memulakan operasi secara rasminya pada 1 Julai ini.

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata, perkhidmatan yang dikenali sebagai Bas.My Kota Bharu itu menawarkan empat laluan di sekitar bandar ini.

“Laluan itu ialah Kota Bharu-Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra-Sabak, Kota Bharu-Panchor-Kemumin-Sabak, Kota Bharu-Pengkalan Chepa, Kota Bharu-Pantai Cahaya Bulan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) di Hotel Perdana di sini pada Rabu.

Menurut beliau, kadar tambang yang dikenakan oleh bas elektrik sama dengan perkhidmat sedia dan semua itu telah ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ujarnya, bas tersebut menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

Che Ibrahim berkata, bagaimanapun mereka perlu berdaftar dengan E-Mutiara sebanyak RM10 untuk menikmati kemudahan itu seumur hidup.

“Bagi pelajar sekolah penggunaan itu hanya terpakai semasa hari persekolahan sahaja dan mereka perlu memakai pakaian seragam. Untuk pelajar institut pengajian tinggi mereka perlu menunjukkan kad matrik.

“Bagi OKU dan warga emas mereka perlu menunjukkan kad pengenalan atau kad pengesahan,” katanya.

Che Ibrahim memberitahu, perkhidmatan bas elektrik itu menggalakkan penggunaan tanpa tunai. – Sinar Harian

Related Posts