Mahkamah dan Jenayah Negara

JPJ tahan warga China pandu Lamborghini tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki warga China memandu kereta Lamborghini tanpa lesen membawa padah apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya di Jalan Bangsar di sini, malam tadi.

Menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang dijalankan bermula 8 malam itu, kenderaan milik pencipta kandungan berusia 28 tahun terbabit disita bagi tindakan lanjut.

Semasa pemeriksaan oleh pegawai penguatkuasa JPJ yang memintanya mengemukakan lesen memandu sah, lelaki itu yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Damansara Heights bersama kekasihnya mengakui tidak memiliki dokumen berkenaan.

Bagaimanapun, dia mengemukakan pasport miliknya kepada pegawai terbabit dan mendakwa sudah menetap di negara ini sejak tujuh tahun lalu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, lelaki itu antara 211 pemandu yang diambil tindakan dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya, operasi membabitkan kekuatan 115 pegawai dan anggota menjalankan pemeriksaan keseluruhan 1,627 kenderaan.

“JPJ Kuala Lumpur mengeluarkan 463 notis atas pelbagai kesalahan antaranya cukai jalan dan insurans tamat tempoh, tiada lesen memandu serta mengubahsuai kenderaan.

“Sebanyak 26 kenderaan disita termasuk kereta Lamborghini milik seorang lelaki warga China yang didapati memandu tanpa lesen. Kesemua kenderaan disita dibawa ke JPJ Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas operasi.
– Harian Metro

Related Posts