KUALA TERENGGANU: Bagi memastikan ia tidak terus dilupakan generasi, penduduk Kampung Gong Baru di sini, menghidupkan semula tradisi ‘junjung talam’ yang dilakukan masyarakat dahulu bagi menghantar juadah berbuka puasa ke rumah jiran.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Gong Baru, Mohd Hanafiah Ismail berkata, lauk-pauk, nasi dan kuih-muih diletakkan di dalam dulang atau talam yang kemudian dijunjung di atas kepala untuk dihantar ke rumah jiran.
Katanya, menjunjung talam dilakukan oleh mereka yang berkemahiran bagi mengelak ia terjatuh sekali gus merosakkan makanan yang dibawa itu.
“Ketika menyerahkan juadah berkenaan kepada penduduk, talam tidak diturunkan sebaliknya makanan diambil sendiri penduduk dari atas junjungan,” katanya ketika ditemui.
Mohd Hanafiah berkata, pihaknya melakukan inisiatif itu bagi menghidupkan semula tradisi junjung talam pada program agihan juadah berbuka puasa kepada penduduk yang diadakan setiap tahun pada bulan Ramadan.
Katanya, agihan juadah itu dilakukan oleh ahli wanita manakala kaum lelaki mengiringi untuk tujuan keselamatan.
“Tradisi ini sudah berpuluh tahun ditinggalkan dan KRT Gong Baru mengambil inisiatif bagi menghidupkan semula tradisi nenek moyang untuk diperkenalkan kepada generasi baharu.
“Pada program ini, kita membuat agihan kepada 30 keluarga terpilih yang memerlukan seperti keluarga memiliki anak ramai, keluarga susah, ibu dan bapa tunggal serta anak yatim,” katanya.
Menurut Mohd Hanafiah, KRT Gong Baru membelanjakan sebanyak kira-kira RM1,000 bagi menyediakan juadah berkenaan. – Metro