KUALA NERUS: UMNO Terengganu menggariskan prinsip lima G (5G) sebagai langkah parti dalam mendepani cabaran dan langkah lebih baik serta teratur demi meneruskan perjuangan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, prinsip 5G (gather, generate, genius, groom, grow) iaitu bersama, menjana, bijaksana, latih dan berkembang perlu diterapkan seluruh pimpinan parti termasuk di peringkat akar umbi demi perjuangan parti.
Katanya, perjuangan parti yang didukung dengan slogan keramat dalam perjuangan agama, bangsa dan tanah air perlu diteruskan bagi memastikan UMNO terus mendapat tempat di hati rakyat.
“Semua ahli parti termasuk pemimpin di semua peringkat perlu amalkan prinsip 5G dalam diri untuk menggerakkan parti mengikut garis panduan ditetapkan UMNO di peringkat negeri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Rozi berkata, beliau mahu mendengar apa sahaja pandangan, pendapat daripada kepemimpinan bahagian dan akar umbi untuk ditambah baik dalam pentadbiran selepas diamanahkan parti pada 7 Disember lalu.
Katanya, pandangan dan pendapat daripada pemimpin di bahagian dan di peringkat akar umbi penting untuk membawa parti terus melangkah dalam mendepani arus politik yang sudah berubah.
“Saya secara peribadi akan mendengar semua pandangan, pendapat dan cadangan dikemukakan pimpinan bahagian dan di peringkat akar umbi pada program jelajah siri pertama yang akan diadakan di semua bahagian parti di negeri ini.
“Hasil pandangan, pendapat dan cadangan diberikan akan dijadikan asas diperlukan semua pimpinan parti untuk terus taat dalam setiap tindakan yang diambil secara teguh, adil, amanah dan takwa,” katanya. – Suara Timur