Home NegeriDua lelaki ditahan simpan rokok, arak tidak bercukai

Dua lelaki ditahan simpan rokok, arak tidak bercukai

oleh suara timur

KEMAMAN: Seorang lelaki warga China dan lelaki tempatan ditahan bersama sejumlah minuman keras serta rokok tidak bercukai dalam serbuan ke atas dua premis berasingan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, semalam.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, serbuan dijalankan oleh Cawangan Risik PSP Bukit Aman bermula 8 malam.

“Dalam serbuan pertama sebanyak 102 kotak minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama dirampas dianggarkan bernilai RM20,050.

“Seterusnya, pihak polis menemukan minuman keras bernilai RM 111,258 dan sejumlah rokok seludup bernilai RM12,336 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM123,594 bagi serbuan kedua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

banner

Menurutnya, serbuan pertama membabitkan penahanan suspek lelaki warga China manakala kes kedua pula seorang warga tempatan ditahan di mana kedua-duanya berusia 53 tahun.

Katanya, semakan mendapati premis terbabit tidak memiliki lesen perniagaan yang sah untuk menjual minuman beralkohol.

“PDRM menegaskan usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai akan diteruskan secara berterusan bagi mengekang kerugian hasil negara serta memastikan pematuhan undang-undang.

“Suspek bersama semua barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan menyimpan barangan tidak bercukai,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen