ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis baharu di Istana Arau, di sini, hari ini.
Beliau yang sebelum ini EXCO Pelancongan dan Kebudayaan Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis ke-12 pada jam 4.08 petang selepas diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu negeri ini menjadi Menteri Besar pertama daripada Bersatu bagi Perlis.
Beliau menggantikan ADUN Pas Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan Khamis lalu, keputusan yang menyusul selepas tiga ADUN Pas mewakili Bintong, Chuping dan Guar Sanji diberhentikan keahlian parti serta-merta berikutan kemelut berkait sokongan kepada Mohd Shukri.
Hadir sama, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail Rus’sele dan Ketua Polis Perlis, Datuk Mohammad Abdul Halim.
Turut hadir pada majlis angkat sumpah itu adalah bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta semua ADUN PN dan ADUN Pakatan Harapan (PH) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad daripada PN tidak dapat hadir kerana berada di luar negeri atas urusan peribadi.
Sementara itu, tiga ADUN Pas, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) yang tergugur keahian mereka dalam parti itu tidak dijemput oleh pihak istana.
Rabu lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan keahlian ketiga-tiga mereka dalam parti itu terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025). – Berita Harian
