KUALA NERUS: Setiap langkah dalam kehidupan pasangan kembar seiras, Nur Amyra Solehah Russlan dan Nur Alia Umairah, 24, ibarat cerminan antara satu sama lain dalam kehidupan mereka.
Dari bilik darjah ke dewan kuliah, dan kini ke pentas konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT), mereka tetap melangkah seiring berkongsi impian, kejayaan, dan cita-cita yang sama.
Lahir dan dibesarkan di Terengganu dalam keluarga pendidik bapa mereka, Russlan bin Abu Bakar, 50, seorang guru sekolah rendah, manakala ibu mereka, Sarassuwati Ali, guru sekolah menengah.
Pasangan kembar ini membuktikan bahawa semangat, disiplin dan kasih keluarga menjadi asas kukuh kejayaan.

“Kami tak pernah berpisah sejak dari sekolah rendah. Dari SPM ke matrikulasi, ke universiti, semuanya kami tempuhi bersama. Kami belajar sama-sama, ulang kaji sama-sama, malah kalau salah seorang hilang semangat, yang seorang lagi akan tolong bangkitkan,” kata Amyra yang merupakan kakak kepada pasangan kembar tersebut.
Kedua-duanya kini bergelar graduan Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian.
Sejak di bangku sekolah lagi, mereka sudah dikenali sebagai pasangan kembar aktif bukan sekadar di dalam kelas, malah aktiviti kokurikulum.
“Kami memang suka bercakap depan orang,” seloroh Alia, dulu kami wakil sekolah dalam pertandingan pantun, sajak dan pidato. Di UMT pula, kami sempat sertai pertandingan debat tahun 2021.
“Saya lebih ramah dan extrovert, tapi kakak lebih teratur dan strategik. Kami saling lengkap-melengkapi,” katanya.
Menariknya, di sebalik jadual belajar yang padat, Amyra dan Alia turut memanfaatkan masa dengan menceburi dunia keusahawanan, menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual Cornflakes Madu di bawah jenama “2Winz” iaitu simbolik kepada keakraban mereka sebagai kembar.

“Idea ni muncul masa kami belajar di universiti. Kami cuba jual secara kecil-kecilan, tapi bila upload di TikTok, sambutan sangat baik.
“Dari situ, kami mula serius dan bina jenama 2Winz. Sekarang kami dalam usaha untuk kembangkan perniagaan ini ke tahap lebih profesional,” jelas Amyra.
Mereka berdua mengakui, memilih Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai destinasi pengajian adalah keputusan yang tepat kerana universiti itu bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi juga ruang membentuk jati diri dan kepimpinan.
“UMT banyak beri peluang kepada kami, bukan hanya dalam akademik tetapi juga untuk asah bakat komunikasi dan kepimpinan. Pensyarah-pensyarah juga sangat menyokong kami untuk seimbang antara pelajaran dan minat lain,” tambah Alia.

Kini, setelah menggenggam ijazah dan meninggalkan kampus dengan penuh kenangan, pasangan kembar ini bertekad meneruskan perjalanan mereka sebagai usahawan muda.
Mereka berharap dapat mengembangkan perniagaan 2Winz ke pasaran lebih luas dan menjadi inspirasi kepada anak muda lain untuk berani mencuba.
“Kami mahu buktikan bahawa walaupun bermula kecil, jika dilakukan dengan tekun dan bersama orang yang kita percaya, tiada apa yang mustahil,” kata Amyra.
Pasangan kembar yang merupakan anak kedua dan ketiga daripada empat beradik perempuan ini menganggap kejayaan mereka bukan hanya milik diri, tetapi juga hadiah buat ibu bapa yang sentiasa menjadi pendorong utama.
“Mak dan ayah tak pernah jemu berpesan bahawa ilmu dan usaha mesti seiring dengan doa. Hari ini, bila dapat naik pentas konvokesyen sama-sama, kami tahu semua pengorbanan mereka berbaloi,” ujar Alia.
Daripada bilik darjah hingga ke dewan konvokesyen, kisah Amyra dan Alia bukan sekadar tentang kejayaan akademik, tetapi tentang kekuatan ikatan dua jiwa yang berjalan seiring menuju masa depan, dua tubuh, satu semangat, satu destinasi. – Suara Timur
