KUALA NERUS: Kanak-kanak berusia lima dan enam tahun antara mangsa kes rogol termuda direkodkan di Terengganu bagi tempoh Januari hingga September, tahun ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairil Khairudin berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 70 kes rogol dan sumbang mahram direkodkan di negeri itu.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 kes rogol dan lima kes sumbang mahram melibatkan mangsa di bawah umur dengan pengaruh media sosial dipercayai antara punca yang menyumbang kepada statistik kes berkenaan.
“Benda ini (media sosial) boleh merangsang ke arah terjebak kepada benda-benda tidak baik, sebab mungkin ada yang tak berpendidikan yang mungkin mudah terpedaya apabila ada yang cari rakan baru di media sosial dan berani untuk berjumpa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pmeberita selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Pusat Pengajian Tinggi Peringkat Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu di sini, hari ini.
Mohd Khairi berkata, pihak memandang serius kes tersebut khususnya melibatkan mangsa bawah umur dan akan terus mengekang jenayah ini melalui tindakan penguatkuasaan yang tegas serta siasatan menyeluruh.
Sementara itu, beliau memberitahu, polis akan melakukan pemeriksaan rambang di sekolah yang mempunyai masalah disiplin dalam waktu terdekat.
Katanya, langkah yang dilakukan itu bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di sekolah di Terengganu.
