SEPANG: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur adalah atas kapasiti beliau sebagai ketua negara rakan dialog ASEAN, bukannya jemputan dua hala oleh Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan bahawa sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia bertanggungjawab menjemput semua ketua negara anggota ASEAN dan rakan dialog ke sidang kemuncak berkenaan.
“Trump bukan dijemput oleh Malaysia secara hubungan dua hala biasa. Beliau merupakan ketua negara yang menjadi rakan dialog kepada ASEAN.

“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, kita menjemput semua ketua negara hadir bagi menghadiri Sidang Kemuncak ke-46 dan ke-47. Malaysia hanyalah tuan rumah; persidangan ini merupakan ‘kenduri’ ASEAN, bukannya ‘kenduri’ Malaysia semata-mata,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Bandar Serenia di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pertubuhan masyarakat dilaporkan menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Trump ke Malaysia susulan dasar luar negara itu terhadap Asia Barat dan Palestin.
Antara pihak yang menyuarakan bantahan ialah Pemuda UMNO yang menggesa Malaysia membatalkan jemputan Trump sekiranya semua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), terutama rakyat Malaysia, tidak dibebaskan oleh Israel.
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan bahawa ASEAN perlu terus dilihat sebagai satu kumpulan negara yang mengamalkan dasar berkecuali, sekali gus menjadi teras kekuatan rantau ini dalam menjalin hubungan antarabangsa.
Menurut beliau, dasar berkecuali tersebut merupakan kekuatan utama ASEAN termasuk Malaysia sebagai salah satu negara anggota.
“ASEAN terbina atas dasar rantau yang bebas, aman dan berkecuali. Kita mesti menguruskan ASEAN sebagai kumpulan negara yang mengamalkan dasar berkecuali.
“‘Centrality of ASEAN’ berasaskan prinsip neutraliti; maka semua ketua negara rakan dialog dijemput. Jika mereka memilih untuk hadir, tidak wajar pula kita menolak kehadiran mereka,” tegasnya. – Sinar Harian