KUALA TERENGGANU: Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) terus memperkukuh inisiatif pembangunan belia melalui pendekatan akar umbi dengan memperluas sasaran kepada golongan kanak-kanak.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadikan program Rakan Muda lebih inklusif dan menyeluruh.
Antara pendekatan kreatif yang dilaksanakan ialah penganjuran tayangan filem animasi tempatan, “Mechamato Movie”, di skrin besar terbuka kepada komuniti setempat.
Program ini turut disertai aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna, senam robik, dan bola sepak tiga sebelah, yang berjaya menarik lebih 500 penyertaan.

Pemilihan filem animasi tempatan ini sejajar dengan hasrat Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, yang menyifatkan pendekatan ini sebagai langkah strategik untuk mendekatkan kanak-kanak dan keluarga kepada nilai-nilai murni yang terkandung dalam program Rakan Muda.
Timbalan Pengarah JBSNT, Nurul Afifa Sofina Azmi berkata, sambutan luar biasa daripada masyarakat membuktikan potensi besar pendekatan ini dalam merapatkan jurang generasi dan latar belakang.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyemai semangat perpaduan, malah membuka ruang kepada kanak-kanak untuk mengenal dunia belia secara positif sejak awal usia. Kita akan terus membawa program yang lebih menarik dan inklusif pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di sini.

Program ini turut mendapat perhatian pelukis tempatan, Taib Abdul Razak atau ‘Taib Aur’, yang melihat penganjuran tersebut sebagai platform penting untuk memperkenalkan seni lukis kepada generasi muda.
“Daripada aktiviti mewarna, anak-anak boleh mula mengenal seni lukis, mengecat dan bereksperimen dengan kreativiti mereka. Ini satu permulaan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MAYC Terengganu, Muhammad Muzzammil Mokhetar, menyifatkan pendekatan menyasarkan kanak-kanak sebagai pelaburan jangka panjang dalam membentuk kepimpinan masa depan.
“Walaupun mereka belum bergelar belia, ibu bapa yang hadir adalah sebahagian daripada komuniti belia. Ini membuka ruang interaksi dan pemahaman yang lebih luas terhadap pembangunan belia,” ujarnya.
Program ini turut disertai Leow Yu Yuen, seorang arkitek yang menetap di Melbourne, Australia pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu ini.
“Saya lihat program ini sangat baik untuk keluarga. Ia merangsang kreativiti anak-anak dan mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Nor Hashimah Ali, peserta tempatan, pula menyarankan agar program seumpama ini diteruskan secara berkala dan tidak terhad kepada musim cuti sekolah sahaja.
“Program mingguan seperti ini sangat bermanfaat untuk anak-anak dan ibu bapa yang bekerja. Ia memberi ruang berkualiti untuk bersama,” katanya.
Dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan, JBSNT berjaya membuktikan bahawa pendekatan akar umbi yang menyeluruh mampu memberi impak positif kepada pembangunan belia negara. – Suara Timur