Negeri

Paip gas bocor: Keadaan terkawal, bomba, 10 anggota HAZMAT siap sedia

MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan lokasi kejadian paip gas bocor di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen Lima, Kerteh Terengganu pagi tadi berada dalam keadaan terkawal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, keselamatan serta kesihatan orang awam dan penduduk sekitar tidak terjejas susulan kejadian itu.

Menurutnya, JBPM sudah mengambil langkah awal untuk mengurangkan risiko kebakaran dengan mengecilkan pengoperasian kawasan terjejas daripada 2.5 kilometer kepada 500 meter.

“JBPM juga akan menempatkan 10 anggota dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) di lokasi kejadian.

“Pegawai dan anggota terbabit akan ditempatkan esok untuk kerja penetapan kawasan selamat, pencairan bahan dan bantuan untuk menyah lupus baki gas di dalam paip.

“Kita percaya esok proses keseluruhan dapat di laksanakan dan malam ini jika tiada halangan, kita akan mula masuk ke kawasan terbabit untuk proses pencarian gas pada jarak 500 meter.

“Ia supaya kita dapat pergi dengan lebih dekat bagi membolehkan proses pembersihan ataupun mengeluarkan keseluruhan gas butane yang berada dalam paip itu dapat kita laksanakan sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak operator,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang, Terengganu, malam ini.

Menurutnya, bagaimanapun kebocoran membabitkan paip gas jenis butane dalam udara (awan gas) menyebabkan ia mudah terbakar.

Beliau berkata, paling membimbangkan ialah apabila gas berkenaan bercampur dengan udara dan berada dalam paras terendah kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kebakaran.

Tambah beliau pihaknya cuba siap sedia untuk mengelakkan berlakunya kebakaran di kawasan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan laluan Kerteh ke Kampung Ranggon, Kemaman terpaksa ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan insiden kebocoran paip gas di tapak projek ECRL Seksyen 5, di Kampung Chabang, Kerteh jam 9.53 pagi tadi. – Harian Metro

Related Posts