Negeri

Pukat haram disyaki punca populasi kelah Tasik Kenyir merosot

HULU TERENGGANU: Kemerosotan hingga 60 peratus populasi ikan kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir di sini dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pukat haram.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, hasil pemerhatian mendapati jumlah ikan di kawasan lubuk utama tidak lagi seperti dahulu, malah spesies induk juga semakin berkurangan.

“Kita boleh lihat perubahan jelas. Kalau sebelum ini pelawat turun sahaja ke jeti, bunyi tapak kaki sudah cukup untuk menarik kawanan kelah menghampiri kawasan gigi air.

“Hari ini, yang tinggal hanyalah ikan-ikan kecil manakala induk besar cuma beberapa ekor sahaja. Berdasarkan anggaran saya, hampir 50 hingga 60 peratus telah hilang,” katanya ketika ditemui dalam lawatan kerja di kawasan tarikan pelancongan itu di sini, pada Isnin.

Menurut Razali, kekurangan itu dipercayai ada kaitan dengan aktiviti menangkap ikan secara haram di kawasan berkenaan.

“Dalam perjalanan masuk ke kawasan santuari ini tadi, saya sendiri ternampak ada pukat berukuran kira-kira empat inci yang tersangkut pada laluan masuk lubuk ini.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa, tapi ia menunjukkan seperti ada pihak yang cuba menangkap dan membawa keluar ikan kelah secara tidak sah,” katanya.

Beliau berkata, beberapa ekor ikan turut ditemui dalam keadaan cedera dipercayai kesan terkena pukat berkenaan.

Jelas Razali, pihaknya akan berbincang dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi mengetatkan kawalan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan tenaga solar di tiga lokasi lubuk utama.

“Kita juga mencadangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu untuk memastikan kelestarian habitat ikan kelah dapat dipulihkan,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts