Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Sebuah rumah musnah 80 peratus selepas hangus dijilat api di Lorong Kubur, Kampung Minda dekat sini, pada pukul 3 petang tadi.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, pihaknya menggerakan jentera ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pada pukul 3.10 petang.
Menurutnya, jarak rumah yang terbakar sejauh 50 kilometer dari balai bomba.

“Sebaik tiba dilokasi kebakaran anggota bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran hose 200 kaki dengan dua pancutan air tangki jentera hingga selesai,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, operasi memadam kebakaran diketuai Komander Operasi PBK II, Norhazri Mohd Nor dengan kekuatan anggota seramai 14 orang dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba Almuktafi Billah Shah dan Balai Bomba Dungun dengan sebuah jentera FRT, LFRT dan kenderaan EMRS.
Ketika berita ini ditulis, operasi pemadaman masih berjalan dan terkawal. – Suara Timur