Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Sebanyak 7,712 kilogram (kg) bahan kitar semula dikumpul oleh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Tayor, di sini dari Januari hingga April lalu.
Bahan kitar semula itu berjaya dikumpul sempena Program Kitar Semula 2025 Peringkat SK Seberang Tayor.
SK Seberang Tayor dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, program kitar semula yang bertemakan ‘TRC Rangers, Penyelamat Bumi’ dianjurkan Unit Kokurikulum & Kelab Pencinta Alam (KPA) SK Seberang Tayor bermula Januari hingga Julai depan.
Menurutnya, majlis peluncuran pertandingan kitar semula itu disempurnakan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Zulkifli Tahar di Dewan Seri Tayor, semalam.

Katanya, program ini diketuai oleh guru Penolong Kanan Kokurikulum, Nor Halimah Sa’diah Awang.
“Antara aktiviti sepanjang program ini adalah Pertandingan Kutipan Barang Kitar Sèmula Tertinggi, Pertandingan Hero Alam, Kuiz 3R (Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula), Jualan Barang Kitar Semula (Bulanan) dan Mural Penutup Botol Plastik,” kata sumber itu.
Tambahnya, objektif program adala bagi meningkatkan kesedaran sivik murid terhadap kepentingan amalan kitar semula, memupuk nilai tanggungjawab menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

“Pihak penganjur menyediakan ruang dan peluang kepada murid untuk menyertai aktiviti berbentuk kelestarian, menggalakkan kerjasama antara sekolah, komuniti, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi dalam menjayakan amalan hijau.
“Diharapkan program ini dapat memberi kesedaran kepada murid Tahun 1 hingga Tahun 6, guru dan kakitangan SK Seberang Tayor dan komuniti setempat serta ibu bapa terhadap kepentingan menjaga dan memulihara alam sekitar.
“Semoga SK Seberang Tayor terus kekal cemerlang dalam melaksanakan aktiviti kelestarian dan alam sekitar,” ujarnya. – Sinar Timur