Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kebimbangan Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS) terhadap kepupusan tuntung sungai ada asasnya apabila haiwan itu sering ditemukan mati akibat tersangkut mata kail yang dibuang ke dalam sungai oleh pemancing nelayan sungai di Sungai Kemaman dekat sini.
Pengasasnya, Dr. Chen Pelf Nyok berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh seorang nelayan tempatan mengenai satu bangkai tuntung sungai atau nama nama saintifiknya, Batagur affinis yang kelihatan terapung di Sungai Kemaman, Kampung Pasir Gajah, dekat sini.
Menurutnya, bertindak atas laporan, Pasukan Penjaga Tuntung TCS, diketuai oleh Pengurus Lapangan, Dylan Wang telah segera bergerak ke lokasi dan berjaya mengambil bangkai tersebut.
“Tuntung sungai sub-dewasa itu, berukuran 37 sentimenter (cm) panjang dan 29 cm lebar, ditemukan dengan mata kail tersangkut di mulut,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Beliu memberitahu, hasil tinjauan di sungai juga pasukannya turut menemukan tiga set peralatan menangkap ikan yang dipasang mata kail dan diberatkan dengan batu-bata.
“Tuntung atau haiwan akuatik yang terperangkap pada mata kail ini tidak akan berpeluang timbul untuk bernafas, lalu mengakibatkan kematian yang perlahan,” katanya.

Menurut Dr. Chen yang juga Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif TCS, pihaknya sentiasa menjalankan tinjauan sungai secara rutin untuk mengeluarkan peralatan menangkap ikan yang dibuang.
Namun, beliau menjelaskan, usaha rutin yang diambil pihaknya itu tidak mencukupi untuk mengelakkan kematian yang tidak wajar ini.
“Pada 6 Ogos, seorang penduduk dari Kampung Seberang Tayur, menemukan seekor tuntung sungai dewasa dengan mata kail yang juga tersangkut di mulutnya.

“Berkat tindakan pantas pasukan kami, mata kail itu berjaya dikeluarkan dan tuntung tersebut dihantar untuk rawatan serta pemerhatian jabatan vaterina, ujarnya.
Beliau menambah, kejadian berulang ini menunjukkan satu ancaman yang mendesak dan semakin meningkat terhadap spesies tuntung sungai yang amat terancam.
“TCS dengan tegas menggesa pihak berkuasa berkenaan untuk mengambil tindakan segera bagi mengawal amalan menangkap ikan yang berbahaya di sungai-sungai yang dikenal pasti sebagai habitat tuntung.
“Tanpa penguatkuasaan lebih ketat dan langkah pencegahan, kematian tuntung sungai yang tidak wajar ini akan terus menjejaskan usaha pemuliharaan selama berdekad-dekad dan mendorong spesies ini hampir kepada kepupusan,” ujarnya. – Suara Timur