BESUT: Kegiatan menceroboh tanah penduduk dengan melakukan aktiviti mencari gali emas di anak sungai di Kampung Bukit Tasik Apal, di sini, menimbulkan keresahan terhadap penduduk kampung.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Apal, Ibrahim Jusoh, berkata, kegiatan berkenaan mula dikesan sejak tahun 2020 berlarutan sehingga kini.
Katanya, sejak itu, sering kelihatan individu dari luar masuk ke sungai berkenaan untuk mendulang emas.
“Kami sudah beberapa kali memberi peringatan namun tidak diendahkan oleh mereka.
“Status tanah berkenaan adalah tanah pertanian yang mempunyai pemilik tanah.
“Pemilik tanah sendiri tidak membenarkan kawasan tanah miliknya dijadikan kegiatan mendulang emas kerana boleh merosakkan struktur tanah di kebunnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Apal, di sini, semalam.
Katanya, beberapa pokok tanaman milik tuan tanah seperti pokok durian dan kelapa sawit tumbang kerana berlaku hakisan di kawasan aliran anak sungai disebabkan aktiviti itu.
“Setakat ini aktiviti cari gali itu dikesan di sepanjang kira-kira 100 meter anak sungai.
“Mereka turut melakukan kerja mengorek tanah serta mengalihkan batu sungai hingga berlaku pergerakan pada struktur tanah,” katanya.
Katanya, kawasan berkenaan sudah ditutup oleh pihak berkuasa bagi segala aktiviti mencari emas di kawasan itu.
“Namun masih ada yang cuba untuk menceroboh ketika tiada pemilik tanah serta pihak penguatkuasaan yang membuat rondaan.
“Kami bimbang sekiranya masih ada pihak yang masih berdegil melakukan kegiatan itu boleh mendatangkan risiko kejadian tidak diingini kepada penduduk kampung,” katanya. Harian Metro