SUNGAI PETANI: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di sini dipercayai menjadi mangsa buli akibat cemburu oleh dua rakan sekolahnya.
Remaja berusia 13 tahun ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher serta mulut ditutup dengan sapu tangan.
Kejadian itu dipercayai berlaku Isnin lalu di tandas sekolah berkenaan.
Difahamkan, kejadian itu disedari ibu mangsa yang menunggu di luar sekolah selepas mendapati anaknya tidak keluar dari sekolah seperti biasa selepas tamat waktu persekolahan pada jam 6.30 petang.
Mangsa ditemui selepas ibu dan pengawal keselamatan sekolah mencarinya di sekitar sekolah sebelum menemuinya di tandas berkenaan.
Remaja perempuan itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat cedera ringan di kaki dan tangan serta trauma, malah ibu mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata setakat ini polis sudah menahan dua pelajar berusia 13 tahun untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Beliau turut mengesahkan kejadian berlaku di tandas sekolah berkenaan dan punca kejadian dipercayai cemburu sehingga mangsa dibuli. – Berita Harian