Mahkamah dan Jenayah

Jurutera kerugian RM70,400 ditipu pelaburan saham tidak wujud

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang jurutera mengalami kerugian RM70,400 setelah terpedaya dengan penipuan pelaburan saham tidak wujud dalam talian.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, lelaki berusia 40 tahun itu telah melihat iklan pelaburan saham tersebut di laman sosial Facebook dan berurusan dengan seorang wanita berbangsa Cina yang menawarkan pelaburan saham syarikat negara China melalui aplikasi XZCISIFIN.

Menurutnya mangsa telah melakukan sebanyak (8) transaksi pindahan wang dalam talian ke (3) akaun bank yang berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM71,000 bermula dari 27 Mei 2025 hingga 26 Jun 2025.

“Pada peringkat awal, mangsa menerima pulangan sebanyak RM600.

“Namun, selepas semua transaksi tersebut, mangsa tidak menerima sebarang pulangan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan mengenai kejadian tersebut di  Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada Selasa lalu.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Related Posts