Politik

Hasrat PAS Rampas Pahang Sekadar Mimpi Siang Hari – Ramli

KUALA LUMPUR Hasrat PAS untuk menawan negeri Pahang disifatkan sebagai “mimpi di siang hari” oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.

Beliau merujuk kenyataan pemimpin PAS yang menyatakan niat parti itu untuk menawan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk DUN Jelai, kawasan yang kini disandang Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Media melaporkan bahawa PAS Pahang mahu ambil DUN Jelai. Bila sebut kawasan Parlimen di bawah tanggungjawab saya, lebih-lebih lagi kawasan Tok Wan, saya jadi sensitif.

Sebagai nasihat saya kepada mereka – kalau mahu tawan Pahang, itu cuma mimpi di siang hari,” katanya menerusi satu video dimuat naik di Facebook.

Ramli turut menegaskan bahawa sokongan masyarakat Orang Asli terhadap UMNO/BN di kawasan itu kekal kukuh, khususnya hasil kerja keras dan komitmen ditunjukkan Wan Rosdy selama ini.

“Pada 1 Jun lalu, di kawasan Parlimen Cameron Highlands termasuk DUN Jelai, jumlah pengundi Melayu ialah 14,698 manakala pengundi Orang Asli seramai 14,775.

Kita jangka angka ini akan meningkat kepada 17,000 menjelang 2027.

Mereka yang merancang mahu ambil DUN Jelai sebagai ‘trofi’ PAS, itu angan-angan kosong. Masyarakat Orang Asli tak akan tinggalkan BN.”

Menurutnya lagi, reputasi dan sumbangan Wan Rosdy dalam membela nasib masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan sangat dihargai.

“Tok Wan jaga masyarakat Orang Asli dengan baik. Kita tetap akan hargai beliau.

Jangan mudah terpedaya dengan persepsi dan janji kosong pembangkang,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Related Posts