KUALA LUMPUR: PAS menafikan dakwaan bahawa parti itu telah mencalonkan naib presidennya, Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai calon baru Pengerusi PN bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.
Ketika dihubungi, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan dakwaan itu sebagai “khabar angin”.
“Itu hanya khabar angin. MT PN pun belum bermesyuarat (mengenai perkara ini). Ia akan dimuktamadkan dalam mesyuarat PN,” katanya kepada Malaysiakini.
Apabila ditanya jika PAS telah memutuskan calon daripada parti itu, Anggota Parlimen Kubang Kerian tersebut menjawab: “Belum.”
Dia diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu, Rahim Thamby Chik, yang mendakwa PAS telah mencalonkan Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, untuk jawatan itu.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Rahim berkata pencalonan itu antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MPT Bersatu malam tadi.
“PAS telah mengemukakan Dr Sam (Samsuri) sebagai calonnya untuk jawatan Pengerusi PN.
“Namun pelantikan muktamad akan dibuat Majlis Tertinggi (MT) PN dalam mesyuarat akan datang,” kata bekas ketua menteri Melaka itu dalam hantaran yang dimuat naik pada jam lapan pagi tadi.
Rahim kemudian meminda hantaran berkenaan dengan menggugurkan semua butiran mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat malam tadi, namun kandungan asalnya masih dapat dilihat menerusi ‘sejarah suntingan’ Facebook.
Dakwaan Rahim itu turut bercanggah dengan kenyataan Muhyiddin kepada media malam tadi apabila ditanya jika dia telah menerima sebarang nama daripada PAS untuk jawatan Pengerusi PN.
Dia berkata PAS belum mengemukakan sebarang nama untuk dicadangkan untuk jawatan itu.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 30 Disember susulan krisis dalam kerajaan Perlis, yang menyaksikan hubungan antara PAS dan Bersatu semakin tegang.
Sejak itu, spekulasi mengenai penggantinya semakin hangat, dengan PAS menuntut jawatan tersebut namun belum menamakan sebarang calon. – Malaysia Kini
