Politik

MKT UMNO boleh pertimbang rayuan ahli dikenakan tindakan disiplin

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO.

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat MKT parti selepas isu berkenaan menjadi antara agenda yang dibincangkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu memberi ruang kepada ahli yang dikenakan tindakan untuk mengemukakan rayuan kepada MKT.

“MKT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Namun begitu, beliau tidak memperincikan sama ada rayuan terhadap tindakan disiplin ke atas bekas Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Pada Sabtu lalu, UMNO Bahagian Sembrong sekali lagi membawa usul agar penggantungan terhadap Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, usul itu merupakan kali kedua dibawa oleh bahagian tersebut, selaras dengan kehendak majoriti ahli perwakilan yang mahu bekas Menteri Kanan Pertahanan itu kembali aktif dalam parti.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada MKT untuk memutuskan permintaan UMNO Bahagian Sembrong agar penggantungan enam tahun terhadap Hishammuddin ditarik balik.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi turut memaklumkan bahawa mesyuarat berpendapat tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil ahli daripada parti-parti gabungan lain, bagi mengelakkan prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan.

“UMNO juga akan melaksanakan kajian separuh penggal terhadap keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan, termasuk pencapaian kepimpinan parti dalam kalangan anggota pentadbiran serta agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 23 Ogos akan ditunda ke tarikh baharu iaitu dari 26 hingga 29 November, mengambil kira persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. – Sinar Harian

Related Posts