Negeri

Anak gajah terkena jerat, ibu tak berganjak setia menunggu

SHAH ALAM – Seorang pemuda menjadi saksi detik menyayat hati apabila seekor anak gajah liar cedera parah akibat terkena jerat di kawasan sempadan ladang sawit, kebun durian dan hutan berhampiran Felda Neram Satu, Terengganu.

Tular video 44 saat menerusi Tik Tok menunjukkan, ibu gajah tidak berganjak dan setia menunggu anaknya dipercayai terkena jerat babi hutan yang dipasang secara haram di kawasan kurang berpenghuni.

Apa yang lebih menyentuh hati, ibunya kelihatan setia menanti di sisi anak, seolah-olah memohon pertolongan daripada manusia.

Menurut pemilik Tik Tok berkenaan yang juga penduduk tempatan, Mohamad Affendi Alwi, 34, berkata, dia merupakan individu pertama yang menyedari kejadian itu selepas melihat kelibat gajah di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan hutan.

“Selepas melihat gajah tersebut saya terus menghubungi pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Alhamdulillah mereka tidak mengambil masa lama untuk sampai dan melakukan operasi menyelamat.

“Usaha menyelamat yang dilakukan oleh anggota Perhilitan berjaya membebaskan anak gajah tersebut daripada jerat dan dilepaskan ke habitat asal,” katanya.

Menurut Mohamad Affendi, dia terpanggil untuk membantu kerana ini melibatkan nyawa seekor haiwan dilindungi.

“Kalau lambat bertindak, anak gajah mungkin mati sebab tempat itu memang sunyi, tidak ramai orang lalu,” katanya.

Jelasnya, situasi ketika menyelamat sangat menyentuh perasaan apatah lagi melihat ibu gajah yang setia dan tidak meninggalkan anaknya.

“Sedih sangat bila tengok keadaan anak gajah yang cedera itu, ibunya pula tetap tunggu. Haiwan pun tahu kasih sayang.

“Kita semua ada tanggungjawab jaga alam. Bila tengok mata anak gajah itu, rasa macam dia minta tolong,” ujarnya.

Dia turut menzahirkan rasa kesal terhadap individu tidak bertanggungjawab yang memasang jerat secara sembarangan.

“Bagi saya ini bukan kerja penternak sebab lokasi tu bukan tempat biasa lembu atau kerbau dilepaskan.

“Mungkin jerat tu untuk babi hutan atau binatang lain

“Selain itu, kes ini sekali lagi membangkitkan keperluan penguatkuasaan lebih tegas terhadap aktiviti pemburuan haram yang semakin mengancam spesies liar di negara ini,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts