JOHOR BAHRU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu selepas memenangi pemilihan bagi jawatan itu untuk sesi 2025-2028.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada Kongres Nasional 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada malam ini.
Beliau menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi selepas memperoleh 9,803 undi.
Proses memilih barisan kepimpinan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat parti itu, yang bermula dari 8 pagi dan berakhir pada 5 petang, membabitkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal serta dalam talian.
Kongres itu, yang dirasmikan oleh Presidennya iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan kepimpinan tertinggi parti.
Diberi jolokan sebagai ‘Puteri Reformasi,’ Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang itu juga berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Permatang Pauh pada pemilihan peringkat Cabang baru-baru ini.
Pada pemilihan 2022, Nurul Izzah, 44, yang tidak menawarkan diri untuk bertanding, telah dilantik sebagai Naib Presiden PKR. – Metro