MARANG: Seramai 50 peserta luar negara memeriahkan Program Candat Sotong Terengganu 2025 sempena Majlis Pelancaran Musim Candat Sotong di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata, buat julung kalinya Terengganu menerima penyertaan dari Thailand, Bangladesh, Chile, Filipina dan Perancis yang ingin merasai pengalaman mencandat sotong.
Beliau berkata penyertaan tersebut bukan sahaja membantu mempromosikan industri pelancongan Terengganu, malah merancakkan lagi agenda promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2016).
“Keunikan program candat itu telah menarik perhatian para pempengaruh media sosial, media elektronik dan media perdana dari negara luar.

“Candat sotong merupakan ikon pelancongan negeri yang telah diiktiraf dan dimasukkan di kalendar pelancongan VMM2026.
“Ia bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi simbol warisan budaya masyarakat laut Terengganu,” katanya pada majlis perasmian Musim Candat Sotong 2025 di Jeti Pelancongan Marang, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor.
Razali berkata, pada tahun ini dijangka 3,000 bot yang membawa seramai 30,000 pelancong akan membanjiri perairan Terengganu untuk aktiviti mencandat sotong bermula April hingga Ogos depan.
“Program itu Ia dijangka memberi pulangan atau janaan ekonomi lebih RM7.5 juta kepada pengusaha bot, hotel, pengusaha inap desa dan peniaga tempatan,” ujarnya. – Suara Timur