BAGAN SERAI: Hanya dalam tempoh kurang 36 jam selepas kisah Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu disiarkan, pengurusan masjid berjaya mengumpulkan dana hampir RM2 juta sekali gus mencukupi untuk menebus kembali tanah wakaf yang sudah dimiliki individu bukan Islam itu.
Pengerusi masjid itu, Yusuf Majid berkata, sebanyak RM1,977,482.20 berjaya dikumpul setakat 8 malam tadi, melebihi jumlah RM1.8 juta yang ditetapkan pemilik tanah untuk urusan jual beli.
Susulan itu, katanya, pihaknya menutup kutipan sumbangan secara rasmi pada 8.30 malam dan sudah memaklumkan perkara itu kepada semua pihak yang terbabit, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan individu membantu menjayakan kutipan ini.
Susulan itu, katanya, pihaknya menutup kutipan sumbangan secara rasmi pada 8.30 malam dan sudah memaklumkan perkara itu kepada semua pihak yang terbabit, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan individu membantu menjayakan kutipan ini.
“Laporan mengenai penutupan sumbangan seperti yang ditularkan itu benar. Esok selepas solat Maghrib kita akan buat sesi penutupan memaklumkan kepada semua yang dana kita mencukupi menebus tanah itu untuk masjid ini,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Yusuf berkata, pengurusan masjid menzahirkan penghargaan atas sokongan orang ramai serta pelbagai pihak yang memainkan peranan penting dalam menjayakan kutipan dana bagi menyelamatkan masjid itu.
Malah, beliau berkata, pihaknya tidak menyangka kutipan dana itu dapat diselesaikan dalam masa yang begitu singkat, jauh lebih awal daripada tempoh dua minggu seperti yang digariskan dalam pekeliling Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Katanya, kini pengurusan masjid hanya menunggu arahan lanjut daripada JAIPk untuk proses selanjutnya dalam penebusan semula tanah berkeluasan 0.61 hektar itu, yang turut menempatkan lebih 30 pusara.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan tanah wakaf masjid itu berpindah milik tanpa pengetahuan pengurusan masjid dan kini dimiliki individu bukan Islam yang menetap di Kuala Lumpur.
Pemilik tanah memberi dua pilihan kepada pihak masjid iaitu membeli semula tanah terbabit atau merobohkan semua struktur sedia ada di atasnya. – Harian Metro