Negara

Pengsan beberapa kali sebelum meninggal dunia di Taman Negara Kuala Tahan

JERANTUT: Impian seorang wanita warga Belanda meneroka keindahan hutan hujan tropika di Taman Negara Kuala Tahan berakhir tragis apabila dia rebah dan meninggal dunia ketika mendaki laluan menuju ke Gua Luas, kelmarin.

Pommelien Catharina Maria Meijs, 33, yang menyertai kumpulan pelancong bersama 16 individu lain dan dua pemandu arah, sempat menikmati keindahan alam semula jadi sebelum keletihan yang dialaminya bertukar menjadi detik cemas dan akhirnya membawa kepada pemergian yang tidak disangka, sekitar 3.40 petang, pada hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Zukri Mohammad berkata, ketika kejadian, kumpulan itu dalam perjalanan ke Gua Luas, Taman Negara Kuala Tahan dengan menaiki bot selama satu jam perjalanan dan berjalan kaki selama dua jam.

“Ketika berjalan kaki bersama kumpulannya, mangsa jatuh beberapa kali dan terus pengsan, kemudian tidak dapat meneruskan perjalanan pada jam kejadian itu berlaku kira-kira 3.40 petang, Khamis (kelmarin).

“Pemandu pelancong dan pelancong yang lain cuba memberi bantuan kepada mangsa dan mendapati mangsa berhenti bernafas serta CPR (prosedur resusitasi kardiopulmonari) dilakukan tetapi tidak berjaya.

“Seorang pemandu pelancong berpatah balik bagi mendapatkan bantuan kerana lokasi kejadian tiada liputan talian komunikasi dan sukar dihubungi,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, polis menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada 9 pagi semalam dan Ketua Balai Polis Kuala Tembeling bersama tiga anggota bergegas ke lokasi di Gua Luas dengan menaiki bot pada 11.30 pagi.

Katanya, gerakan mengeluarkan mangsa dimulakan pada hari sama oleh anggota polis dengan renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta lima penunjuk arah dari Persatuan Pemandu Pelancong Kuala Tahan.

“Pasukan penyelamat tiba pada 5 petang di lokasi kejadian dan cuba membawa mangsa keluar, tetapi gagal disebabkan mangsa terlalu berat dan laluan berbukit terlalu licin serta keadaan hujan. Operasi dihentikan pada 5.45 petang.

“Operasi mengeluarkan mangsa bersambung hari ini dengan menggunakan khidmat helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Pangkalan Udara Bertam, Pulau Pinang dan tiba pada 10.50 pagi untuk membawa mangsa keluar dan mendarat di Padang FA Bandar Jerantut,” katanya.

Katanya, mayat wanita itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Hajah Afzan (HTAA) Kuantan untuk dibedah siasat pada 11.20 pagi hari ini. – Harian Metro

Related Posts