Negeri

Medan Selera D’Muara lokasi baru pelancongan

Projek yang menelan belanja RM4.2 juta ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menempatkan semula peniaga dari Medan Selera Tanjung yang terlibat dalam projek pembangunan di kawasan tersebut. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Medan Selera D’Muara menawarkan suasana yang lebih selesa dan menarik berbanding lokasi lama.

“Kita berjaya membina sebanyak 76 lot kedai, termasuk 36 unit untuk perniagaan makanan dan 36 unit untuk kedai pelbagai, semuanya disewakan dengan harga yang sangat minima iaitu RM300 sahaja sebulan tidak termasuk api, air yang akan dibayar oleh penyewa sendiri.

“Harapan kita lokasi Medan Selera D’Muara ini bakal menjadi satu tempat yang akan termasuk dalam destinasi tempat pelancongan yang baru oleh pelancong daripada dalam mahupun luar.

“Pengunjung ataupun penduduk penduduk di kawasan setempat ini boleh menjadikan kawasan ini sebagai satu port barulah untuk mereka bukan sahaja makan minum termasuk santai petang dan sebagainya lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Medan Selera D’Muara, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu merangkap ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat serta Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedudukan Medan Selera D’Muara yang berada terletak di tepi sungai menambahkan lagi tarikan untuk pengunjung datang ke kawasan itu.

“Kita boleh nampak pemandangan seperti Duyong Marina Resort, Pasar Payang dan Jambatan Angkat (Drawbridge).

“Saya yakin aktiviti bot yang dijalankan oleh pelancong tempatan dan luar pada waktu petang juga akan menambahkan lagi keindahan serta mempercantikkan pemandangan di kawasan ini.

“Secara tidak langsung memberi satu peluang menjana ekonomi kepada masyarakat yang berada di sekitar Drawbridge ataupun sekitar perairan di DUN Seberang takir ini. Insya-Allah,” katanya. – Harakahdaily

Related Posts