Home NegeriJHEAT arah semua masjid dan surau adakan solat hajat khas buat Sultan Terengganu Jumaat Ini

JHEAT arah semua masjid dan surau adakan solat hajat khas buat Sultan Terengganu Jumaat Ini

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengarahkan semua masjid dan surau di seluruh negeri ini mengadakan solat hajat khas pada Jumaat ini sebagai tanda doa dan solidariti buat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menerusi arahan rasmi yang dikeluarkan, solat hajat khas itu akan dilaksanakan di semua masjid selepas solat Jumaat, manakala surau di seluruh Terengganu akan mengadakannya selepas Solat Isyak pada 24 Julai ini

Solat hajat khas itu diadakan bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar Sultan Mizan dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia dalam keberkatan serta dipermudahkan segala urusan baginda.

JHEAT turut menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar bersama-sama menghadiri solat hajat khas tersebut sebagai tanda kasih, taat setia dan doa kepada pemerintah negeri.

banner

Selain itu, semua jawatankuasa pengurusan masjid dan surau diminta memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan Solat Hajat Khas berjalan lancar mengikut ketetapan yang telah ditetapkan.

Orang ramai turut digalakkan mengambil peluang untuk bersama-sama bermunajat dan memohon kepada Allah SWT agar Sultan Terengganu sentiasa berada dalam lindungan, dikurniakan kesembuhan, kesihatan yang berpanjangan serta terus memimpin negeri Darul Iman dengan penuh hikmah dan keberkatan. – Suara Timur

Tinggalkan komen